Alhamdulillah, dah masuk bulan Rejab dah kita. Esok Isnin dan 1 Rejab, memang elok untuk kita berpuasa. Kebiasaannya memang apabila nak masuk bulan Rejab sehinggalah Syaaban nanti akan ada banyak lembaran-lembaran serta poster-poster yang dipasang mengingatkan kita mengenai kebaikan bulan Rejab dan Syaaban ni. Memang niat bertujuan baik tapi kena ingat, jika kita buat dustaan terhadap Nabi SAW dosa besar kita
Maksud dustaan tu, apabila kita sebarkan hadith palsu!
Terlalu banyak dan luangkanlah ke mana-mana masjid untuk belajar secara lebih mendalam, kat sini aku akan senaraikan yang popular-popular agar takdelah tangan tu PANTAS SANGAT share dengan kawan-kawan. Walaupun niat nak 'mengingatkan' tapi sandaran kepada Nabi memang dosa tersangatlah besar!
1) Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
Memang dari sekolah rendah lagi dengar 'hadith' ni. Memang tak sangka ia adalah palsu. Actually pernah dengar kat khutbah Jumaat lagi perihal ni memang kena berhati-hati supaya tak terjadi lepas ni
2) Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah.
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.
Kita memang digalakkan untuk berpuasa tapi apabila kita percaya puasa 3 hari dapat ini puasa sebulan dapat tu, itu dah jadi bahaya dah. Lagi bahaya kita sebarkan petikan ni untuk kononnya mengajak orang lain turut berpuasa.
3) Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
Rejab memang maksudnya Agung. Berlaku peristiwa Isra' Mikraj yang mana Ulama bersepakat berlaku pada 27 Rejab. Masalahnya ramai yang mereka-reka keagungan bulan Rejab sehingga keluar hadith-hadith seperti diatas. Ada yang terlampau melampau tu sehingga lebih mulia dari bulan Ramadhan pun ada
4) Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir.
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
Rejab juga merupakan bulan yang mulia, antara 4 bulan yang Haram selain Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Menurut Al-Qardawi, tiada solat sunat atau zikir khas untuk bulan Rejab. Apa yang perlu kita buat perbanyakkan puasa + sedekah + solat sunat seperti bulan-bulan yang lain. Menjadi parah apabila bulan lain tak buat tapi tunggu bulan Rejab Syaaban dan Ramadhan je nak buat
5) Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya?
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.
Masa aku kecik-kecik dulu memang kat kampung ni siap buat macam kenduri lagi kalau masuk Rejab ni. Lepas tu pakak duk solat sunat macam nak solat tarawikh dah. Sekarang ni aku rasa 'budaya' ni masih ada (kat kampung aku dah takde dah) dan menjadi tanggungjawab kita untuk menegur.Nak kenduri ke, nak ajak orang makan ke no problem, tapi ingat jangan kata itu daripada Nabi. Dosa besar ohhh
PSS : esok selain 1Rejab juga 20 April. 20 April tu tarikh apa ya??? hehe
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ada kaca ada simen,
sudah baca bolehlah komen.